BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 23 Februari. - Upacara Perhimpunan Agung Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-28 berlangsung penuh warna-warni dan gilang-gemilang di Taman Haji Sir Muda Omar 'Ali Saifuddien di ibu negara hari ini.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke upacara perhimpunan yang disertai oleh lebih 21,000 peserta perbarisan lalu serta kira-kira 7,700 peserta yang terlibat dalam acara persembahan padang.
Berangkat sama Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Malik, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda 'Abdul Wakeel dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah serta ahli-ahli kerabat diraja yang lain.
Keberangkatan tiba Kebawah DYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerabat diraja dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Awang Haji Hazair bin Haji Abdullah, selaku Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Kebangsaan.
Sejurus keberangkatan, Kebawah DYMM berkenan memeriksa perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri dari anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan anggota Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB).
Perbarisan lalu didahului oleh pembawa bendera kebangsaan Negara Brunei Darussalam berukuran besar diikuti pasukan-pasukan pembawa bendera-bendera Negara Brunei Darussalam berukuran biasa, bendera-bendera logo Hari Kebangsaan, pembaca ikrar, ABDB, PDB, pasukan beruniform, kementerian-kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan, daerah-daerah, sektor swasta, institusi pengajian tinggi, maktab-maktab, sekolah-sekolah, persatuan-persatuan dan pertubuhan awam.
Upacara diteruskan dengan lafaz ikrar Hari Kebangsaan serta laungan takbir 'Allahuakbar' sebanyak tiga kali dengan disusuli persembahan pertunjukan udara oleh ABDB.
Keberangkatan Kebawah DYMM ke upacara ini setentunya akan menyuntik semangat para peserta yang mengambil bahagian khususnya untuk memperbaharui tekad, menyuburkan nilai-nilai murni dan meningkatkan semangat nasionalisme bagi menuju masa depan yang lebih gemilang.
(Oleh : Bolhassan Haji Abu Bakar, Dk. Vivy Malessa Pg. Ibrahim & Aryentty Haji Ariffin)